Wednesday, January 16, 2008

Semua pihak mesti berperanan tangani jenayah

SAYA ingin menarik perhatian mengenai pihak-pihak yang seharusnya memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah. Antaranya ialah ibu bapa itu sendiri.
Hal ini kerana ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak masing-masing. Institusi kekeluargaan perlu diperteguhkan dengan ibu bapa mengambil sikap yang lebih lebih berwaspada dengan setiap pergerakan anak-anak. Sewaktu mereka kecil terutamanya, ibu bapa seharusnya memberi perhatian yang lebih kepada anak-anak dan mula membentuk mereka untuk memahami undang-undang dan peraturan.
Ibu bapa juga berperanan menjaga keselamatan anak-anak mereka. Kanak-kanak memang akan mudah terpengaruh dengan persekitaran di sekeliling mereka. Jika kain putih itu dicorakkan dengan baik dan betul maka akan cantiklah kain itu jadinya, tetapi jika kain itu dicorakkan dengan salah maka buruklah jadinya. Ini kerana apabila sudah semakin meningkat usia anak-anak, ibu bapa sudah tidak perlu lagi risau untuk mengawal mereka sepenuhnya kerana asas yang kukuh telah wujud.
Bagi anak-anak yang tidak mempunyai asas yang begitu kukuh, pergerakan mereka perlu dikawal selia dan pastikan dengan siapa mereka berkawan, dengan siapa mereka keluar dan ke mana mereka pergi. Ini amat penting kerana kebanyakan kes yang timbul berpunca daripada masalah anak-anak yang terabai dan tidak diambil peduli oleh ibu bapa masing-masing.
Pihak kedua yang bertanggungjawab adalah warga pendidik. Institusi pendidikan perlu juga diperkemaskan dengan memberi perhatian kepada aspek ‘tarbiah’ oleh pendidik kepada anak didik mereka. Guru mahupun pensyarah bukan sahaja bertanggungjawab memberikan ilmu kepada anak-anak didik mereka, bahkan mereka perlu pergi lebih jauh dengan memberi didikan kepada anak-anak didik tentang bagaimana untuk menjadi insan sebenar yang boleh mendatangkan manfaat kepada masyarakat dan bukannya menyusahkan masyarakat.
Pihak yang seterusnya sudah pasti pasukan Polis Diraja Malaysia itu sendiri. Saya yakin dan percaya jika masyarakat mempunyai asas kekeluargaan yang kuat disokong oleh institusi pendidikan yang unggul, kita sudah meringankan beban kerja pihak polis. Ini kerana, mereka tidak perlu menangkap orang-orang yang salah seramai yang ada sekarang dan kejadian jenayah sudah pasti dapat dielakkan. Namun pada masa yang sama, pihak polis perlu juga lebih efektif dalam menyelesaikan masalah jenayah dan mengambil tindakan sewajarnya dan seadilnya terhadap semua pihak.
Saya amat berharap rakyat Malaysia bangkit dan sedar akan peranan dan tanggungjawab masing-masing kerana jika kita ingin mengharapkan polis semata-mata maka kita sudah pasti akan gagal membendung gejala jenayah.