Sunday, April 20, 2008

Insan genius jadi pengebom bersiri


PADA 22 Mei 1942, lahir seorang bayi lelaki genius yang kemudian membesar menjadi ikon ‘legenda’ dalam sejarah dunia. Kepintaran anak pasangan Richard Kaczynski dan Wanda Theresa itu terserlah sejak kecil lagi apabila dia berjaya melompat kelas dari gred lima terus ke gred tujuh di sekolah Evergreen Park Central, Illinois, Amerika Syarikat (AS). Ujian kepintaran yang dijalankan juga mendapati kanak-kanak itu, Theodore Kaczynski, memiliki tahap kepintaran (IQ) luar biasa iaitu 170 berbanding manusia biasa sekitar 110.

Laluan kehidupan Kaczynski bagaimanapun berubah apabila dia melompat kelas. Sebagai kanak-kanak lebih muda berbanding pelajar lain dalam gred tujuh, dia gagal menyesuaikan diri malah menjadi ejekan pelajar lebih berusia.
Akibatnya, perkembangan sosial Kaczynski menurun. Dia takut bergaul dengan orang ramai, sering bermain seorang diri dan satu-satunya rakan beliau adalah seorang kanak-kanak lelaki terencat akal.
Bagaimanapun, masalah itu tidak menjejaskan kepintarannya dan dia sekali lagi melompat gred 11 ketika di Sekolah Tinggi Evergreen Park Community. Hasilnya, beliau menamatkan pengajian sekolah tinggi dua tahun lebih awal berbanding remaja lain, malah diterima masuk ke universiti terkemuka dunia, Universiti Harvard ketika baru berusia 16 tahun.

Kaczynski menamatkan pengajiannya di Harvard pada 1962, sebelum menyambung sarjana serta doktor falsafah (Phd) dalam bidang Matematik di Universiti Michigan. Beliau memperoleh Phd dengan menyelesaikan masalah matematik yang teramat sukar sehingga gagal diselesaikan pakar matematik universiti itu, dalam tempoh kurang setahun.
Ketika musim luruh 1967, Kaczynski memulakan kerjayanya sebagai pensyarah Matematik di Universiti California dan menjuruskan kepakarannya dalam ‘teori fungsi geomatrik’ di mana hanya 10 atau 12 orang saja yang memahami bidang itu di AS.
Bagaimanapun, dua tahun kemudian, tanpa sebarang sebab, dia meletakkan jawatan walaupun dipujuk pihak universiti yang menyedari bakatnya. Dia bertegas meletakkan jawatan seterusnya keputusan itu menjadi episod permulaan kepada ‘sumbangan besarnya’ dalam sejarah dunia.
Sembilan tahun kemudian iaitu pada Mei 1978, satu bungkusan aneh ditemui di lot letak kenderaan Universiti Northwestern. Pengawal kampus, Terry Marker, membuka bungkusan itu dan dengan tiba-tiba, ia meletup sehingga mencederakan lelaki itu.

Belumpun tragedi pengeboman itu reda, satu lagi bom dijumpai dalam kargo pesawat American Airlines dari Chicago ke Washington pada 1979. Bom itu mengeluarkan asap sehingga menyebabkan penumpang sesak nafas dan juruterbang terpaksa membuat pendaratan cemas. Mangsa bernasib baik kerana sistem masa bom itu rosak menyebabkan ia gagal meletup.
Cubaan meletupkan pesawat itu menyebabkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memandang serius kes berkenaan. Persamaan modus operandi dengan kes letupan Universiti Northwestern meyakinkan mereka bahawa dalang dua kes bom bersurat itu adalah orang yang sama.
Mereka menamakan kes itu sebagai ‘Unabomb’ iaitu singkatan kepada ‘pengeboman universiti dan syarikat penerbangan’ manakala suspeknya digelar ‘Unabomber’. Ketika FBI bingung mengesan dalang jenayah bersiri itu, beberapa lagi bom bersurat meletup di AS sehingga ramai cedera dan dua mangsa terbunuh. Selepas 17 tahun gagal mengesan Unabomber, pihak berkuasa akhirnya mendapat petunjuk baru apabila penjenayah menghantar surat kepada akhbar dan mangsanya bagi menyatakan matlamat tindakannya.
Dalam suratnya, dia meminta manifesto yang ditulisnya bertajuk ‘Masyarakat Perindustrian dan Masa Depannya’ dicetak dalam akhbar utama dan memberi jaminan yang kempen keganasannya akan berakhir selepas ia dicetak. Pada 19 September 1995, akhbar New York Times dan Washington Post menyiarkan manifesto dikenali ‘Manifestor Unabomber’ itu yang antara lain menentang sektor perindustrian.
Awal 1996, pengkaji profil FBI, Clinton R Van Zandt dihubungi pemberi maklumat, Tony Bisceglie yang memintanya membandingkan tulisan Unabomber dengan tulisan dalam surat yang dihantar adik majikan Bisceglie. Van Zandt mula menganalisis tulisan itu dan yakin ia ditulis orang yang sama. Persamaan tulisan itu kemudian membawa sepasukan polis menjejaki kabin terasing milik Unabomber di Lincoln, Montana pada 3 April 1996.
Mereka mula menunggu dan sebaik suspek melangkah keluar, pasukan polis segera menyerbu lelaki terbabit. Berita penahanan Unabomber segera mendapat liputan meluas media.
Wajah pengebom bersiri itu dipaparkan di kaca televisyen dan dada akhbar. Ketika itulah beberapa pihak yang mengenalinya terkejut teramat - lelaki itu adalah Thedore Kaczynski, insan genius yang mensia-siakan kepintarannya dengan menjadi pengebom bersiri paling terkenal dan ditakuti dalam sejarah jenayah dunia.
INFO: Unabomber

Kaczynski dihukum penjara seumur hidup tanpa parol selepas mengaku salah terhadap semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Keseluruhannya, 16 bom dihantar Unabomber sepanjang 18 tahun keganasannya sehingga menyebabkan 23 mangsa cedera dan tiga terbunuh.

Polis menjumpai bukti termasuk bom buatan sendiri dan manifesto asli dalam kabinnya.

FBI menawarkan ganjaran AS1 juta kepada mereka yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya Unabomber.

Thursday, April 3, 2008

Kepentingan Akta Pendaftaran DNA selesai kes jenayah

ISU yang timbul berikutan kes kematian seorang Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Norita Shamsuddin, yang berakhir dengan keputusan mahkamah baru-baru ini, menarik untuk dibincang lanjut.

Apa yang ingin ditimbulkan, bukan untuk mempertikaikan fakta kes atau keputusan mahkamah tetapi untuk membuka mata rakyat mengenai kepentingan pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA) dalam menyelesaikan kes jenayah.

Dalam kes ini, kenyataan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi yang mengatakan mungkin pada masa depan profil DNA dapat diwujudkan bagi memudahkan polis mengesan individu yang disyaki terbabit dalam kes jenayah, amat menarik.

Pada masa kini, kejadian jenayah semakin kerap berlaku. Apatah lagi yang berunsur seks seperti rogol, cabul dan penderaan seksual. Malangnya, penjenayah kini lebih cerdik dalam menghapuskan kesan atau bukti jenayah dan terlepas daripada hukuman.

Contohnya, kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan petunjuk. Kes ini mungkin akhirnya senyap begitu saja. Kita bukan mahu mempertikaikan tugas polis tetapi ini berlaku kerana pihak polis mungkin tidak mempunyai petunjuk untuk menahan pembunuh kejam itu.

Kini, ibu bapa yang mempunyai anak kecil berasa bimbang kerana pembunuh kejam ini masih berkeliaran di luar.

Berbalik kepada kenyataan Zaki, penulis berpendapat ia boleh direalisasikan kerajaan untuk menangani kes jenayah pada masa hadapan. Ia kerana wujud banyak kes yang mana peninggalan DNA orang yang mungkin terbabit dalam kes tertentu, tetapi tidak dapat dikesan kerana tiada sebarang rekod yang menyimpan profil DNA. Jika pun ada, hanya mereka yang pernah menjalani ujian DNA saja.

Oleh itu, dicadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu akta baru agar DNA rakyat negara ini dapat direkodkan dalam satu pangkalan data khas yang disimpan dengan selamat oleh pihak berwajib. Akta ini contohnya boleh dinamakan sebagai 'Akta Pendaftaran DNA'.

Akta ini saya kira perlu diwujudkan supaya pada masa akan datang, kes jenayah yang memerlukan pengecaman DNA dapat dilakukan oleh pihak berkuasa.

Mungkin fakta saya tidak tepat, tetapi melalui pembacaan saya, DNA bukan saja boleh didapati daripada kesan darah, malah ia juga boleh diperoleh dalam air liur, rambut, kulit dan pelbagai tempat daripada tubuh manusia. Selain itu, kes seperti pembuangan bayi, juga boleh diselesaikan jika DNA ibu bapa bayi ini boleh dikesan sekali gus dihukum kerana perbuatan kejam dan tidak bertanggungjawab.

Mungkin ini agak lucu tetapi jika ada individu atau pihak ingin mengesan dan mencari keturunan mereka menggunakan rekod ini, mengapa tidak? DNA boleh dibandingkan dan struktur DNA adalah hampir sama bagi mereka yang mempunyai hubungan keluarga seperti adik-beradik, saudara mara malah mempunyai kaitan 'bau bacang'.

Tetapi permohonan mereka mestilah melalui prosedur tertentu untuk mengelak rekod ini terdedah kepada umum. Dalam masyarakat yang hidup di bawah tekanan yang semakin tinggi, keadaan keselamatan tidak lagi begitu terjamin, kerana ada individu berpotensi untuk menjadi penjenayah. Oleh itu, dengan mendaftarkan DNA rakyat Malaysia, negara sebenarnya telah mencegah jenayah tertentu sebelum jenayah itu berlaku.

Individu yang ingin melakukan jenayah akan berasa takut untuk melakukan jenayah sekiranya wujud kemungkinan DNA mereka tertinggal di tempat kejadian. Proses pendaftaran DNA boleh dimulakan dengan mendaftarkan semua DNA bayi yang baru dilahirkan di dalam negara ini.

Pada masa yang sama, sampel DNA ibu bapa bayi terbabit juga perlu diambil dan direkodkan.

Kemudian, bagi kanak-kanak yang ingin membuat kad pengenalan, disyaratkan agar DNA mereka didaftarkan sebelum membuat kad pengenalan. Cadangan ini mungkin sukar dilakukan dan mendapat tentangan pihak tertentu. Namun setiap perkara perlu bermula dengan langkah pertama.

Pada masa akan datang, mungkin kerajaan akan mempunyai rekod DNA setiap rakyat Malaysia. Bagi pendatang asing yang bekerja mencari rezeki di sini, mereka juga tidak harus dikecualikan.

Sebelum memulakan pekerjaan mereka di sini, DNA mereka wajib didaftarkan dengan pihak berkuasa. Jenayah yang dilakukan warga asing juga semakin membimbangkan. Mungkin dengan cara ini, jenayah warga asing dapat dikurangkan.

Oleh itu, semua pihak termasuk pihak berkuasa, pakar biologi, perubatan dan undang-undang dapat mengkaji cadangan ini. Kita berpendapat, kini keadaan di luar sudah tidak selamat lagi berbanding 20 tahun lalu dengan kanak-kanak waktu itu bebas bermain-main di luar tanpa rasa bimbang.