Wednesday, February 24, 2010

Kerajaan tak boleh terlalu ghairah galak kemasukan pelancong sedangkan mekanisme penguatkuasaan lemah untuk pantau aktiviti melencong

PELANCONGAN atau keselamatan dalam negara, mana lebih utama? Jika diamati kepada rekod keluar masuk warga asing ke negara ini pada tahun lalu iaitu sebanyak 28 juta orang, ia pastinya menggambarkan satu kejayaan membanggakan kepada sektor pelancongan.

Namun, jika diamati dalam satu aspek lain pula, ia seharusnya mendatangkan kebimbangan kerana pada masa sama, indeks jenayah di kalangan warga asing juga tidak sedikit dan boleh dikatakan menjadi ancaman kepada rakyat tempatan sendiri.
Meskipun peratusan kes jenayah warga asing berbanding indeks jenayah dalam negara keseluruhannya tidak sebesar mana, apakah ia tidak cukup mendatangkan kegusaran apabila pada tahun lalu saja, sebanyak 105 kes bunuh membabitkan mereka.

Malah, peratusan kes samun berkumpulan menggunakan senjata api oleh warga asing juga agak tinggi sehingga lebih 30 peratus daripada keseluruhan angka kes berkenaan.



Kenapa mereka begitu berani melakukan jenayah di negara kita? Adakah kerana kelemahan penguatkuasaan atau ada faktor sokongan lain yang mendorong mereka memilih untuk membuat onar di Malaysia.

Contohnya, berdasarkan statistik terkini dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, ada lima warga negara luar yang begitu banyak melakukan jenayah di sini iaitu Indonesia, Bangladesh, Filipina, Myanmar dan Vietnam yang diakui menjadi warga asing paling ramai berada di negara ini.

Kes jenayah di kalangan warga Indonesia umpamanya paling membimbangkan iaitu 45 kes bunuh, 48 kes rogol, 23 kes cabul kehormatan, samun berkawan bersenjata api (21 kes), samun berkawan tanpa senjata api (236 kes) dan rusuhan (27 kes).

Itu baru kes jenayah kekerasan sedangkan mereka juga jaguh dalam jenayah harta benda iaitu sebanyak 429 kes curi dan 174 kes pecah rumah, namun jaguh sebenar dalam kes jenayah harta benda dimonopoli warga Filipina dengan 617 kes curi dan 267 kes pecah rumah.

Warga Bangladesh pula lebih cenderung melakukan jenayah seksual dengan 10 kes rogol dan 27 kes cabul kehormatan, manakala warga Myanmar dan Vietnam lebih banyak terbabit dengan kes rusuhan iaitu 32 dan 34 kes masing-masing.

Semua angka itu mungkin tidak sebesar mana tetapi apabila sudah semakin ramai warga asing terutama dari lima negara itu semakin agresif mengancam keselamatan rakyat tempatan, langkah drastik perlu diambil dengan melihat semula kaedah kemasukan pelancong ke negara ini.

Walaupun diakui kes jenayah di kalangan warga Indonesia dan Filipina sangat tinggi, kemasukan rakyat negara itu ke negara ini terus meningkat dengan masih banyak sektor dimonopoli oleh warga dua negara itu.

Justeru, memang tepat sekali nada kerisauan yang dilontarkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam yang melihat perlunya pengawalan lebih tegas dalam kemasukan warga luar ke negara ini.

Beliau turut menekankan betapa konflik antara pelancongan dan keselamatan dalam negara sering menjadi satu isu yang sukar ditangani, namun sudah sampai masanya kerajaan melihat bagaimana mekanisme yang sesuai dilaksanakan supaya tidak terus berlaku lambakan warga asing di Malaysia.

Malah, beliau sendiri kelihatan teruja ketika menyebut angka 28 juta rekod keluar masuk warga asing ke negara ini pada 2009 yang disifatkan sebagai terlalu banyak dan menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kes jenayah dalam negara.

Tidak cukup dengan ancaman jenayah kekerasan dan harta benda, kemasukan terlalu ramai warga asing ini juga sebenarnya turut memberi kesan negatif kepada pelbagai aspek lain termasuk pendedahan kepada produk bahaya dari luar seperti ubatan dan alat perangsang seks yang kini dilihat begitu banyak dijual di kaki lima sekitar Kuala Lumpur.


'Kerapkan operasi di 'sarang' pendatang'

KEMASUKAN warga asing yang terlalu ramai ke negara ini menjadi satu daripada punca utama peningkatan kes jenayah dalam negara terutama di kawasan tumpuan utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam, berkata pada 2009 saja, statistik keluar masuk warga asing ke negara ini seramai 28 juta orang, lebih tinggi berbanding jumlah penduduk dalam negara ketika ini iaitu 27 juta orang.

Malah, katanya, jumlah pekerja asing yang masuk secara sah saja mencecah 1.6 juta orang, belum termasuk mereka yang masuk secara haram dan tiada dalam rekod Jabatan Imigresen Malaysia.

"Dalam statistik Jabatan Imigresen, tangkapan di bawah Akta Imigresen membabitkan warga asing pada tahun lalu saja 6,836 orang atas pelbagai kesalahan. Ia belum termasuk kesalahan diuruskan pelbagai agensi lain.

"Ia membimbangkan dan memang menjadi isu yang dipandang serius oleh kementerian. Bagi pihak kementerian, kemasukan yang terlalu ramai ini membawa impak negatif kepada keselamatan dalam negara tetapi dalam aspek pelancongan, ia sesuatu yang sangat positif. Kerana itulah wujudnya konflik antara keselamatan dan pelancongan," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Berita Harian kelmarin.

Katanya, punca peningkatan kes jenayah dalam negara tidak boleh sekadar diletakkan kepada warga asing sepenuhnya kerana ada juga warga tempatan menjadi penyumbang kepada statistik jenayah, namun pada masa sama warga asing sebenarnya turut bertanggungjawab menyumbang kepada perlakuan penjenayah warga tempatan.

Beliau berkata, pertembungan budaya dan cara hidup mereka yang kadangkala amat berlainan dengan cara hidup warga negara sebenarnya memberi kesan negatif kepada rakyat tempatan dan impak itu mungkin kecil jika jumlah warga asing tidak seramai sekarang.

Tidak cukup dengan itu, kerisauan mengenai kemasukan warga asing ialah mengenai kewujudan lokasi panas yang mula dikuasai mereka dengan menjual produk tidak diiktiraf termasuk alat perangsang seks, ubat-ubatan dan pelbagai lagi.

"Dalam isu ini, imigresen sebenarnya sering memantau lokasi panas seperti di Jalan Pasar dan Jalan Petaling sehingga tiga kali seminggu, tetapi mereka ini licik. Ketika operasi pemantauan dibuat, mereka tak ada.

"Tidak dinafikan, mungkin juga wujud sindiket menjalankan perniagaan ini yang menggunakan warga asing. Jika ia dikesan, Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 boleh digunakan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 kepada dalang sindiket itu.

"Namun, agak susah juga untuk kita mengatakan wujudnya sindiket kerana ia antara isu sindiket pemerdagangan orang iaitu satu senario baru dalam jenayah merentas benua yang ada di Malaysia. Kerana itulah akta ini baru diperkenalkan," katanya.

Katanya, KDN menganggap isu perniagaan di kalangan warga asing terutama di kawasan panas sebagai sesuatu yang sangat serius kerana bukan sekadar melanggar Akta Imigresen, malah turut membabitkan pelbagai kesalahan lain.

Justeru, KDN akan meminta semua agensi di bawahnya untuk meningkatkan operasi pemantauan di kawasan tumpuan utama terutama di Jalan Pasar yang dilaporkan mula menjadi lubuk perniagaan warga asing secara haram.

Merujuk kepada isu kemasukan warga asing ke negara ini, Mahmood berkata, ia adalah satu konflik utama antara sektor pelancongan dan keselamatan dalam negara, namun perlu juga diperketatkan kaedah mengeluarkan visa.

"Pemantauan perlu lebih agresif. Pergerakan semua pelancong dan pelajar dari luar perlu dilihat dan diawasi selalu," katanya.


Agensi penguat kuasa kena tegas banteras aktiviti haram pendatang


MEREKA bukan sekadar boleh mencetus bahaya jika tidak dikawal, malah kerakusan untuk meneruskan kehidupan dan mencari sumber pendapatan tambahan di negara orang menghalalkan apa saja termasuk menjalankan perniagaan haram di kaki lima.

Senario itu diakui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyatakan ramai warga China dan Indonesia berniaga di kaki lima kawasan panas seperti Jalan Pasar, Chow Kit dan Jalan Petaling, termasuk menjual pil perangsang dan alat rangsangan seks.

Pengurus Komunikasi Korporat DBKL, Anwar Mohd Zain, menerusi jawapan bertulisnya kepada Berita Harian, berkata perniagaan warga asing itu dilakukan dengan meletakkan barang di atas meja terbuka, bunjut, atau di atas bonet kenderaan dan aktiviti itu selalunya dilakukan sekitar jam 11 pagi hingga 4 petang.

Beliau berkata, antara punca utama aktiviti perniagaan di sekitar kawasan panas semakin menjadi-jadi adalah disebabkan wujudnya faktor permintaan daripada warga tempatan sendiri selain kelembapan ekonomi, sekali gus menggalakkan kewujudan lebih ramai peniaga kecil secara haram.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata kerajaan perlu memberi keutamaan kepada keselamatan dalam negara daripada terlalu agresif menggalakkan pelancong masuk ke negara ini kerana tidak semua pelancong mempunyai agenda positif datang ke Malaysia.

Katanya, ada segelintir warga asing menggunakan alasan melancong sedangkan realitinya mempunyai agenda tersirat yang akhirnya melakukan jenayah di negara ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan jenayah indeks.

"Ketika ini, kita akui bahawa kempen pelancongan dianggap berjaya kerana begitu ramai pelancong masuk ke negara ini tetapi pada masa sama, kita turut menggalakkan pertambahan kes jenayah di kalangan warga asing.

"Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa kemasukan begitu ramai warga asing terutama dari negara tertentu membolehkan mereka membina kawasan mereka sendiri yang akhirnya bertukar menjadi satu perkampungan, sekali gus menjadikan mereka lebih berani melakukan jenayah.

"Perlu disedari juga, tidak ada sesiapapun sebenarnya berani melakukan jenayah di negara orang kecuali jika ada sokongan atau bantuan orang tempatan. Realitinya, wujud bantuan sama ada dari segi perlindungan dan bantuan lain yang membolehkan mereka (warga asing) boleh menjadi lebih agresif melakukan jenayah," katanya.

Beliau turut mengulas, angka 28 juta yang menunjukkan kemasukan warga asing ke negara ini pada tahun lalu satu angka yang sangat besar sekali gus menunjukkan lambakan warga asing tanpa kawalan berkesan sudah berlaku di negara ini.

Katanya, jika diperincikan, ada pula warga dari negara tertentu begitu berani melakukan pelbagai jenayah kekerasan yang memberi kesan negatif kepada keselamatan rakyat tempatan dan ia sepatutnya menjadi isyarat kepada kerajaan untuk memperketatkan kawalan di pintu masuk dan mengehadkan kemasukan pelancong dari sesetengah negara.

"Contohnya, lambakan warga Indonesia di negara ini membolehkan mereka mencipta koloni mereka sendiri, sekali gus berani melakukan jenayah. Ia perlu dikawal dan walaupun ia mungkin memberi kesan kepada hubungan diplomatik, ia sewajarnya diteliti secara terperinci.

"Tarik duit dalam tepung, jangan sampai tepung berselerak. Keselamatan tetap menjadi satu isu utama. Pada masa sama, hubungan diplomatik perlu dijaga, tetapi jangan sampai gadaikan soal keselamatan rakyat," katanya lagi.

Beliau turut menyelar kaedah penguatkuasaan yang tidak menyeluruh oleh agensi penguatkuasa kerana masih ada sektor yang tidak begitu diberi perhatian seperti hiburan di hotel yang kebanyakannya dimonopoli penyanyi dari Filipina.

"Cuba pantau. Adakah mereka ada permit membuat persembahan hiburan di Malaysia. Rasanya masih banyak lagi sektor yang kita terlepas pandang. Selalunya, kita hanya sibuk dengan sektor pembuatan dan pengilangan semata-mata," katanya.