Thursday, April 3, 2008

Kepentingan Akta Pendaftaran DNA selesai kes jenayah

ISU yang timbul berikutan kes kematian seorang Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Norita Shamsuddin, yang berakhir dengan keputusan mahkamah baru-baru ini, menarik untuk dibincang lanjut.

Apa yang ingin ditimbulkan, bukan untuk mempertikaikan fakta kes atau keputusan mahkamah tetapi untuk membuka mata rakyat mengenai kepentingan pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA) dalam menyelesaikan kes jenayah.

Dalam kes ini, kenyataan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi yang mengatakan mungkin pada masa depan profil DNA dapat diwujudkan bagi memudahkan polis mengesan individu yang disyaki terbabit dalam kes jenayah, amat menarik.

Pada masa kini, kejadian jenayah semakin kerap berlaku. Apatah lagi yang berunsur seks seperti rogol, cabul dan penderaan seksual. Malangnya, penjenayah kini lebih cerdik dalam menghapuskan kesan atau bukti jenayah dan terlepas daripada hukuman.

Contohnya, kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan petunjuk. Kes ini mungkin akhirnya senyap begitu saja. Kita bukan mahu mempertikaikan tugas polis tetapi ini berlaku kerana pihak polis mungkin tidak mempunyai petunjuk untuk menahan pembunuh kejam itu.

Kini, ibu bapa yang mempunyai anak kecil berasa bimbang kerana pembunuh kejam ini masih berkeliaran di luar.

Berbalik kepada kenyataan Zaki, penulis berpendapat ia boleh direalisasikan kerajaan untuk menangani kes jenayah pada masa hadapan. Ia kerana wujud banyak kes yang mana peninggalan DNA orang yang mungkin terbabit dalam kes tertentu, tetapi tidak dapat dikesan kerana tiada sebarang rekod yang menyimpan profil DNA. Jika pun ada, hanya mereka yang pernah menjalani ujian DNA saja.

Oleh itu, dicadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu akta baru agar DNA rakyat negara ini dapat direkodkan dalam satu pangkalan data khas yang disimpan dengan selamat oleh pihak berwajib. Akta ini contohnya boleh dinamakan sebagai 'Akta Pendaftaran DNA'.

Akta ini saya kira perlu diwujudkan supaya pada masa akan datang, kes jenayah yang memerlukan pengecaman DNA dapat dilakukan oleh pihak berkuasa.

Mungkin fakta saya tidak tepat, tetapi melalui pembacaan saya, DNA bukan saja boleh didapati daripada kesan darah, malah ia juga boleh diperoleh dalam air liur, rambut, kulit dan pelbagai tempat daripada tubuh manusia. Selain itu, kes seperti pembuangan bayi, juga boleh diselesaikan jika DNA ibu bapa bayi ini boleh dikesan sekali gus dihukum kerana perbuatan kejam dan tidak bertanggungjawab.

Mungkin ini agak lucu tetapi jika ada individu atau pihak ingin mengesan dan mencari keturunan mereka menggunakan rekod ini, mengapa tidak? DNA boleh dibandingkan dan struktur DNA adalah hampir sama bagi mereka yang mempunyai hubungan keluarga seperti adik-beradik, saudara mara malah mempunyai kaitan 'bau bacang'.

Tetapi permohonan mereka mestilah melalui prosedur tertentu untuk mengelak rekod ini terdedah kepada umum. Dalam masyarakat yang hidup di bawah tekanan yang semakin tinggi, keadaan keselamatan tidak lagi begitu terjamin, kerana ada individu berpotensi untuk menjadi penjenayah. Oleh itu, dengan mendaftarkan DNA rakyat Malaysia, negara sebenarnya telah mencegah jenayah tertentu sebelum jenayah itu berlaku.

Individu yang ingin melakukan jenayah akan berasa takut untuk melakukan jenayah sekiranya wujud kemungkinan DNA mereka tertinggal di tempat kejadian. Proses pendaftaran DNA boleh dimulakan dengan mendaftarkan semua DNA bayi yang baru dilahirkan di dalam negara ini.

Pada masa yang sama, sampel DNA ibu bapa bayi terbabit juga perlu diambil dan direkodkan.

Kemudian, bagi kanak-kanak yang ingin membuat kad pengenalan, disyaratkan agar DNA mereka didaftarkan sebelum membuat kad pengenalan. Cadangan ini mungkin sukar dilakukan dan mendapat tentangan pihak tertentu. Namun setiap perkara perlu bermula dengan langkah pertama.

Pada masa akan datang, mungkin kerajaan akan mempunyai rekod DNA setiap rakyat Malaysia. Bagi pendatang asing yang bekerja mencari rezeki di sini, mereka juga tidak harus dikecualikan.

Sebelum memulakan pekerjaan mereka di sini, DNA mereka wajib didaftarkan dengan pihak berkuasa. Jenayah yang dilakukan warga asing juga semakin membimbangkan. Mungkin dengan cara ini, jenayah warga asing dapat dikurangkan.

Oleh itu, semua pihak termasuk pihak berkuasa, pakar biologi, perubatan dan undang-undang dapat mengkaji cadangan ini. Kita berpendapat, kini keadaan di luar sudah tidak selamat lagi berbanding 20 tahun lalu dengan kanak-kanak waktu itu bebas bermain-main di luar tanpa rasa bimbang.

No comments: