Monday, July 28, 2008

Pasangan mengaku tidak bersalah terima deposit RM222 juta secara haram

Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima deposit RM222 juta tanpa lesen yang sah dari Bank Negara.

Pakar motivasi Dr Jailani Jabar, 48, dan Dr Latifah Taib, 47, kedua-dua pengarah Syarikat Jai Network Systems Sdn Bhd, didakwa melakukan kesalahan itu di No 474, Jalan Beserah, Kuantan, antara 1 Januari dan 17 Julai 2007.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya.

Pasangan itu turut mengaku tidak bersalah bagi pihak Syarikat Jai Network Systems Sdn Bhd kerana menerima deposit tanpa memiliki suatu lesen yang sah. Pendakwa Raya dari Bank Negara, S Ganesan mengesyorkan mahkamah mengenakan wang jaminan RM5 juta terhadap Jailani dan RM500,000 untuk Latifah. Peguambela pasangan itu, V Kumaresan memohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang rendah kerana Jailani mempunyai empat isteri dan 13 anak manakala semua aset mereka telah dibekukan.

Hakim S M Komathy Suppiah membenarkan Jailani dibebaskan dengan jaminan RM1 juta dengan dua orang penjamin dan Latifah dikenakan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin sehingga kes itu disebut semula 29 Ogos ini. Sehingga jam 4 petang tadi, kedua-dua mereka masih gagal menjelaskan wang jaminan itu.

Rabu lalu, pasangan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan terhadap 189 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan hampir RM170 juta.

Jailani mengaku tidak bersalah terhadap 106 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM98.7 juta manakala isterinya mengaku tidak bersalah terhadap 83 pertuduhan membabitkan RM71.3 juta.

— Bernama 28.07.2008

No comments: