Wednesday, July 16, 2008

Rakaman dedah derita tahanan Guantanamo

BUKTI: Rakaman video menunjukkan gambaran sebenar siasatan di penjara Guantanamo. - REUTERS

Remaja Afghanistan menangis ketika disoal siasat lebih 4 hari

Omar Khadr, 16, yang ditahan di Afghanistan oleh askar Amerika Syarikat dan dihantar ke kem tahanan Teluk Guantanamo kelihatan menangis ketika disoal siasat dan mengangkat tangannya untuk meminta bantuan, dalam rakaman video yang dikeluarkan semalam. "Tolong saya," tangisnya berkali-kali dalam kekecewaan.

Video selama 10 minit itu, yang dipilih oleh peguam Omar daripada rakaman lebih tujuh jam oleh sebuah kamera tersembunyi menunjukkannya menangis dan mukanya diletakkan di atas tangannya ketika disoal siasat oleh ejen perisikan Kanada selama lebih empat hari pada 2003. Video berkenaan memberi gambaran sebenar apa yang berlaku dalam penahanan dan soal siasat yang terlalu lama ke atas banduan Guantanamo. Seorang ejen perisikan keselamatan Kanada dalam video itu menyoal Khadr bertubi-tubi mengenai kejadian yang berlaku sebelum dia ditahan sebagai musuh peperangan ketika berusia 15 tahun.

Khadr, warga Kanada dituduh melemparkan bom tangan yang mengakibatkan askar AS terbunuh pada pertempuran di Afghanistan pada 2002. Dia ditahan selepas dijumpai di dalam timbunan kawasan yang terkena letupan bom dalam keadaan kecederaan teruk dan hampir mati. Dalam soal siasat itu, Khadr menarik kemeja-T banduan berwarna oren yang dipakainya untuk menunjukkan kesan kecederaannya dan mengadu dia tidak dapat menggerakkan tangannya dan berkata dia tidak diberi rawatan perubatan, walaupun diminta. Khadr juga memberitahu ejen berkenaan yang dia diseksa ketika berada dalam penanahan tentera AS di pangkalan udara Bagram di Afghanistan, tempat dia ditahan pertama kali pada 2002. Jurucakap Pentagon, Panglima Tentera Laut, J D Gordon menafikan Khadr diperlakukan dengan buruk ketika berada dalam tahanan AS. "Dasar kami ialah untuk memberi layanan berperikemanusiaan kepada tahanan dan Khadr dilayan secara baik," kata Gordon.

Mei lalu, Mahkamah Agung Kerajaan Kanada mengarahkan Kanada menyerahkan bukti utama kepada pasukan perundangan Khadr bagi membolehkannya membela diri bagi tuduhan yang dihadapinya, termasuk tuduhan AS bahawa dia melakukan intipan dan memberi sokongan material kepada pengganas.

AP


No comments: